PROGRAM MEMPERKASAKAN PROFESIONALISMA PENGAMALAN PERUBATAN MELAYU (MPPM)

PENGUMUMAN PENUNDAAN TARIKH PROGRAM.

Assalamualaikum WBT.

Adalah dimaklumkan bahawa Program Memperkasakan Profesionalisma Pengamalan Perubatan Melayu anjuran bersama AKADEMI GAPERA, CUCMS dan GAPERA yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember 2017 ditangguhkan pada ketetapan berikut:-

Tarikh: 29 JANUARI 2018.
Tempat: Auditorium Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS).
Masa: 8.30am – 5.30pm

Penangguhan ini terpaksa dilakukan oleh kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Segala kesulitan yang dihadapi amatlah dikesali.

Sekiranya maklumat lanjut diperlukan, silalah berhubung dengan pihak Sekretariat
PN. AS 017 8866787 atau
CIK LYN 0122359787.

Harap maklum, terima kasih. WASSALAM.

 

Tarikh: 16 Disember 2017
Tempat : Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS), Cyberjaya, Selangor.

Penganjuran program secara bersama diantara GAPERA, AKADEMI GAPERA dan CUCMS kali ini akan memberi kelainan impak kepada khalayak terutamanya pengamal perubatan Melayu.  Program yang berbentuk dua serangkai ini bukan hanya terdapat sesi pembentangan tetapi juga sesi soal bicara yang diperuntukkan selama kira-kira 2 jam dimana peserta berpeluang berinteraksi dan melontarkan apa jua soalan yang berkaitan kepada pembentang yang berpengalaman dan panel-panel pakar dalam ilmu yang berkaitan.

Pengamal PT&K khasnya Perubatan Melayu amatlah disarankan untuk menyertai program ini agar tidak terlepas peluang dan tercicir dalam arus perkembangan melahirkan pengamal yang professional.  Disamping itu juga, pengamal berpeluang menambah ilmu dan kredibiliti serta integriti bagi menawarkan perkhidmatan yang diyakini kepada orang ramai.

Kadar yuran yang amat berpatutan juga merupakan faktor untuk pengamal tidak boleh melepaskan peluang untuk menyertainya kerana tawaran yuran pengenalan ini hanyalah bagi program kali ini sahaja.

Sesi 1- Terapi Pemakanan Dari Perspektif Amalan Perubatan Tradisional & Komplementari.
Pembentang: Encik. A. Aziz Youp Kamaruddin
Pengamal Terapi Pemakanan, Nutrisi dari DSY Wellness & Longevity Center. Wakil Persekutuan Perubatan Komplementari dan Alami Malaysia (FCPMAM).

Pembentangan beliau adalah mengenai kaedah dan bagaimana terapi pemakanan harus dipraktikkan dengan betul serta amalan pemakanan yang mempunyai rujukan dan bukan hanya diperolehi daripada sumber yang tidak sahih. Penyataan ‘You Are What You Eat’ dan ‘Food is Medicine and Medicine is Food’ juga akan disentuh secara terperinci.

Adalah menjadi kemestian kepada seseorang pengamal untuk mendapat pendedahan bagi mengetahui jenis dan terapi pemakanan kerana ianya merupakan komponen penting dalam menyampaikan perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K). Manakala dalam sesi soal jawab pula, beliau akan berinteraksi dengan para pengamal/peserta bagi menjawab soalan-soalan dan perkara-perkara berkaitan dengan terapi pemakanan yang ingin diketahui. Beliau juga akan berkongsi pengamalan yang sudah melebihi 25 tahun serta kejayaan menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan.

Sesi 2-Pengamal Berintegriti   
Pembentang/Panel: Dr. Amir Shahmi Md Ali (MBBS, UIAM)
Pengamal Perubatan Alopati
Pengamal PTK
Panel Biro Amalan Kerohanian Gapera

Kini sudah tiba masa yang wajib bagi Pengamal PT&K khasnya Pengamal Perubatan Melayu memperlengkapkan diri dengan Ilmu dan pengetahuan untuk menawarkan perkhidmatan perubatan yang seiringan dan sebagai pelengkap kepada perubatan moden.

Beliau seorang Pengamal Alopati dan dalam masa yang sama terlibat sepenuh masa sebagai Pengamal PT&K. Pembentangan beliau akan lebih menyentuh tentang pentingnya keperluan pengamal sekurang-kurangnya memiliki asas ilmu anatomi dan fisiologi tubuh serta patalogi yang berhubung kait dengan amalan PT&K. Disamping peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, kepentingan mematuhi garis panduan amalan baik (SOP), kawalan jangkitan, pengurusan sisa klinikal yang betul dan etika pengamal hendaklah dipraktikkan sebaik mungkin bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan adalah berkesan dan selamat kepada orang ramai.

 

Sesi 3-Kitab Tib sebagai Perbahanan Ilmu dan Amalan Perubatan Melayu.
Pembentang/Panel: Dr. Harun Mat Piah
Pengkaji Ilmu Perubatan Melayu Kitab Tib
Tokoh Pengkaji Manuskrip

Dr. Harun Mat Piah adalah merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam bidang sastera dan budaya Melayu yang dikenali sebagai Ensiklopedia Bergerak yang kini memberi tumpuan kajian dalam ilmu Perubatan Melayu.

Beliau akan membentangkan dan membicarakan bahan ilmu serta amalan perubatan Melayu yang diamalkan secara turun temurun yang pada hakikat sebenarnya telah berstruktur dan bersistem. Merungkai bagaimana seharusnya pengamalan, pengkajian dan penyelidikan ke arah perubatan berasakan pembuktian dapat dilakukan menurut acuan sendiri yang perlu dibangunkan. Berkongsi dengan pengamal tentang bahan yang terdapat didalam kita Kitab Tib sebagai sumber rujukan dan tidak boleh dipertikaikan bagi merealisasikan dan mengembalikan kegemilangan amalan Perubatan Melayu.

Sesi 4-Ilmu & Amalan Kerohanian Perubatan Melayu.
Pembentang/Panel: Dato’ Seri Ustaz Mohamad Suhaimi Rozali
Pengamal Perubatan Tradisional Melayu.
Panel Biro Amalan Kerohanian Gapera.

Dato’ Seri Ustaz Mohd Suhaimi Rozali adalah merupakan seorang pengamal dan ikon dalam bidang PT&K khasnya bagi Cabang Amalan kerohanian Perubatan Melayu. Beliau yang mempunyai pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir dan beberapa university tempatan juga merupakan Panelis TV9 bagi program ‘Tanyalah Ustaz’ dan ‘Nasi Lemak Kopi O’, TV3 pada slot Wanita Hari Ini dan di Astro Prima siri ‘Episod Mistik’ serta ‘Panorama’ TV1 disamping di TV AlHijrah.

Kepentingan kesihatan perlu diambil kira daripada aspek jasmani dan rohani. Kekuatan kerohanian memerlukan penjagaan dan proses rawatan yang spesifik agar sentiasa menjalankan fungsinya untuk kehidupan seharian.

Selain berkongsi pengalaman yang sudah sekian lama menceburi bidang amalan kerohahian, beliau akan menyampaikan beberapa rahsia dan amalan untuk digunkan oleh para pengamal.pada program kali ini.

Sesi 5-Terapan Amalan Sufi – Hubungan Dengan Maha Penyembuh.
Pembentang/Panel: Ahmad Sharizal
Pengamal Perubatan Tradisional Melayu
Biro Amalan Kerohanian Perubatan Melayu, Gapera

Ilmu perubatan Melayu adalah berpaksikan bahawa segala penyembuhan datangnya daripada Allah SWT Tuhan Yang Maha Penyembuh.

Setelah melebihi 20 tahun berkecimping di dalam bidang perubatan Melayu, sudah sampai waktunya pembentang ingin berkongsi sebahagian dari keluasan rahsia khazanah keilmuan pendita Melayu yang dapat dimanfaatkan oleh pengamal perubatan.

Penerokaan terhadap diri manusia oleh ahlinya yakni golongan pendeta telah mengetahui sebenarnya hubungan diantara manusia dengan penciptanya dan  menemukan  jati diri manusia yang sejati. Padanya terdapat pelbagai keistimewaan yang tidak terhitung kebolehannya yang mana amalan sufi menjadi teras.

Sesi 6-Soal Bicara Bersama Panel
Pengendalian sesi dialog (Soal Bicara Bersama Panel) bagi tempoh selama kira-kira 2 jam  akan dikendalikan sendiri oleh YDP GAPERA iaitu Tn.Mohd Adzhar Abd Latif sebagai moderator bagi menghangat dan memeriahkan sesi berkenaan.

Objektif Program

  • Memberi pendedahan meluas kepada para pengamal/peserta untuk mendalami pengetahuan mengenai Terapi Pemakanan bagi menyokong keberkesanan perkhidmatan yang disampaikan.
  • Mengetahui kaedah pemakanan sihat beserta rujukan yang betul untuk diaplikasikan sebagai terapi pencegahan dan perawatan bagi penyakit-penyakit kronik yang meningkat semakin hari.
  • Memberi pendedahan kepada para pengamal mengenai teras ilmu dan amalan perubatan Melayu terdapat di dalam Kitab Tib dan seterusnya menjadi kewajiban kepada para pengkaji, pelajar dan yang berminat menceburi pengamalan perubatan Melayu.
  • Memantapkan ilmu amalan para pengamal dengan pengharmonian asas kerohanian yang telah diamalkan secara turun temurun.
  • Menggali potensi sebenar perawat melalui kefahaman ilmu kerohanian sufi dalam amalan PTM.
  • Memperkenalkan ilmu kerohanian sufi satu elemen penyelesaian masalah kesihatan dalam PTM.
  • Menambah dan meningkatkan kemahiran, kredibiliti dan integriti para pengamal bagi menawarkan perkhidmatan yang diyakini kepada khalayak.

Siapa yang perlu hadir?

  • Pengamal PT&K khasnya Pengamal Perubatan Melayu.
  • Pengkaji/bakal pengkaji/pelajar (Yuran Istimewa Untuk Pelajar – Sila hubungi Sekretariat)
  • Mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
  • Mereka yang berminat menceburi bidang amalan PT&K.
  • Orang Awam.